[VIDEO] Kebun anggur pertama di Kelantan
MACHANG - Seorang anak muda di Kampung Batu 31, di sini mengambil langkah berani dengan membuka sebuah kebun anggur pertama di Kelantan yang menempatkan lebih 50 spesies dari seluruh negara.
Kebun anggur yang dikenali sebagai Po-land Grape Machang itu diusahakan oleh Nur Taufiq Yusuf, 33, yang merupakan seorang jurugambar.
Nur Taufiq memberitahu, dia mula berjinak dengan tanaman tersebut pada September 2021 selepas terkesan dengan penularan Covid-19.
"Tanaman anggur di Kelantan bukanlah perkara baharu, hal ini kerana ada dalam kalangan penduduk menjadikan ia sebagai hiasan dan jualan. Berbeza dengan saya apabila memilih untuk membuka kebun anggur pertama di negeri ini secara serius.
"Idea ini timbul selepas saya sukar untuk meraih rezeki kerana perintah kawalan pergerakan (PKP). Pada waktu itu kamera memang disimpan kemas," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, pada awalnya dia hanya menanam empat spesies anggur iaitu Jupiter, Black Ozark, Alfonso Lavalle dan Banana.
Ujarnya, melihat kepada hasil percubaan yang memuaskan itu dia mula mencuba tanaman anggur daripada spesies lain.
Nur Taufiq memberitahu, kini terdapat lebih 50 spesies yang ditanam antaranya ialah Dickson, Faith, Vales dan banyak lagi.
Dia berkata, selain menjual buah yang masak, anak pokok dan baja buatan sendiri turut dijual kepada orang ramai yang berminat.
"Setiap pokok dijual dengan harga sekitar RM80 hingga RM150 dan spesies Jupiter paling mendapat permintaan tinggi kerana mudah diuruskan, senang hidup serta buahnya manis.
"Saya turut membuka kebun ini untuk lawatan kepada orang ramai yang ingin melihat lebih dekat pokok dan buah anggur. Selain itu kelas tanaman juga turut diadakan kepada sesiapa yang berminat," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai tanaman itu, Nur Taufiq berkata, pada awal April nanti anggur yang sedang berbuat lebat ini akan dapat dituai.
Tambahnya, cuaca Khatulistiwa di Malaysia sangat bagus untuk tumbesaran anggur dan situasi itu menepis dakwaan mengatakan hanya iklim sejuk sahaja sesuai dengan tanaman tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!