Pelantikan Exco baharu Johor bukan soal 'team siapa'
JOHOR BAHRU - Pelantikan barisan Exco Johor yang baharu tidak sepatutnya terus dipolemikkan.
Ketua Armada Johor, Norul Haszarul Abu Samah berkata pelantikan tersebut bukan soal 'team siapa' namun ia soal muafakat cara Johor.
"Saya amat terkilan apabila polemik ini masih berpanjangan walaupun Sultan Johor telah memperkenan pelantikan tersebut.
"Ini bukan soal 'team' siapa dan 'papan siapa'. Ini soal muafakat cara Johor. Kita bermuafakat di bawah satu payung Kebawah Duli Tuanku Sultan Johor.
"Sekiranya masih ada mana-mana pihak masih memperkatakan soal 'team' mahupun papan, jentera kerajaan akan lembab," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak berhenti bermain sentimen politik memecahbelahkan yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Tindakan ini hanya membuang masa dan mengeruhkan lagi keadaan. Saya turut menyeru seluruh rakyat negeri Johor tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang politik agar kembali kepada titah Sultan Johor untuk kita sama-sama muafakat dan bersatu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!