RoS: Teka-teki belum terjawab
KELMARIN, tular di media sosial surat didakwa daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.
Surat itu tular selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang pada 18 Mac.
Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya kerana surat RoS itu, antara lain menyatakan bahawa usul tambahan dalam PAU 2022 yang menghalang pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden, sebagai tidak sah.
Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, RoS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur dan bertentangan serta bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.
Ia jelas bertentangan dengan kenyataan media Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berdasarkan kuasa yang diberi kepada menteri sepertimana termaktub dalam Seksyen 70 akta yang sama.
Jika surat itu tulen, usul yang dibawa oleh UMNO Bahagian Rembau pada PAU 2022 adalah tidak sah dan melanggar Akta Pertubuhan 1966.
Lebih menimbulkan tanda tanya ialah kaitan Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 dengan tindakan PAU 2022 meluluskan usul tambahan kerana seksyen tersebut berkaitan Pembatalan dan Penggantungan pendaftaran sesuatu pertubuhan berdaftar.
Jika tiada pelanggaran di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv), maka Seksyen 70 tidak perlu diguna pakai oleh KDN. Pihak RoS boleh menghantar surat memaklumkan tiada pelanggaran telah berlaku.
Secara tidak langsung, pengecualian oleh menteri itu telah mengesahkan ketidakaturan yang sememangnya wujud dalam proses mengangkat usul tambahan tersebut.
Persoalannya, adakah wujud unsur campur tangan menteri setelah RoS membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf usul tambahan PAU?
Justeru, Saifuddin perlu memberi penjelasan mengenai keputusan melaksanakan budi bicara kerana kegagalan berbuat demikian boleh membawa andaian bahawa tindakan itu dilakukan atas sebab politik atau untuk menyelamatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semata-mata.
Malah, tindakan itu juga bertentangan dengan prinsip ketelusan dan integriti yang telah diperakui berulang kali oleh Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!