Artikel didakwa fitnah Abdul Hadi, Pemuda Pas lapor polis
KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal yang didakwa berunsur fitnah terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ketua Pemudanya, Mohd Harun Esa berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira jam 3.30 petang pada Rabu.
Beliau berkata, ia susulan laporan artikel yang dimuat naik di sebuah portal pada 6 Mac lalu.
"Laporan ini cukup-cukup melampau, ia jauh menyimpang daripada apa yang diucapkan oleh Tuan Guru (Abdul Hadi) sendiri, Kami dapati tulisan ini berniat jahat serta mahu melaga-lagakan antara Tuan Guru dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di sini, pada petang Rabu.
Justeru, katanya, pihak terbabit digesa membuat permohonan maaf serta menarik balik artikel yang dikeluarkan itu.
Mohd Harun berkata, jika perbuatan pihak tersebut menyebabkan kesan tidak baik dan berpanjangan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
"Kami gesa supaya artikel ini segera dipadamkan dan ditarik balik. Kemukakan permohonan maaf. Sekiranya tiada apa-apa tindakan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka," tegas beliau.
Ujarnya, artikel berkenaan didakwa bertujuan mengeruhkan hubungan baik antara kerajaan negeri, Presiden Pas dengan pihak istana.
"Apa yang berlaku pada hari ini melahirkan api untuk menyemarakkan lagi hubungan tidak baik dan bertujuan melaga-lagakan sehingga merebak kepada hubungan parti politik dengan pihak istana.
"Kita kesal kerana tohmahan dan provokasi ini termasuk isu Himpit 2023 yang apabila diolah secara tidak wajar oleh sesetengah pihak menyebabkan kita dianggap sebagai pengganas," ujar beliau.
Pada 2 Mac lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan kenyataan melarang semua pemimpin dan aktivis politik menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Jelas beliau, Sultan Mizan telah menzahirkan rasa dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran.
Isu tersebut turut mendapat maklum balas daripada Abdul Hadi yang mengakui akan meneruskan ceramah seperti biasa walaupun dilarang berbuat demikian.
Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, tindakan tersebut tidak menjadi satu kesalahan kerana larangan berkenaan sebelum ini telah dibuat dan katanya dalam Islam sendiri tidak memisahkan politik dan agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!