Pelakon Jalil Hamid alami masalah jantung
KUALA LUMPUR - Seniman, Jalil Hamid dilaporkan mengalami masalah jantung dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, pada Selasa.
Menurut pelakon veteran itu, antara tanda awal dialami adalah gangguan pernafasan yang terjadi sejak dahulu.
Jalil atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Abdul Hamid, 66, berkata, dia bagaimanapun, sudah dibenarkan pulang ke rumah.
"Pada awalnya, saya rasa sesak nafas dan pergi mendapatkan rawatan di hospital. Kemudiannya, doktor memaklumkan saya ada masalah berkaitan jantung.
"Bagaimanapun, saya dibenarkan ke rumah, semalam selepas menerima rawatan di hospital," katanya seperti dilaporkan portal berita BH Online pada Rabu.
Pelakon filem Bisik Pada Langit itu berkata, buat masa ini, dia hanya menunggu keputusan dan panggilan daripada hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
"Doktor ada menjalankan ujian darah dan akan memaklumkan kepada saya tarikh hadir semula ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
"Buat masa ini, saya berada di rumah dan tahap oksigen juga perlu dipantau rapi," lapor portal itu lagi.
Dalam masa sama, Jalil menjelaskan, dia memilih untuk menolak berada di wad hospital kerana mahu memberi ruang kepada pesakit lain yang lebih memerlukan.
"Sebenarnya, saya masih perlu dirawat di hospital. Tetapi, saya rasa kasihan melihat pesakit lebih teruk, saya minta untuk pulang dan berehat di rumah sahaja.
"Saya lihat ada sesetengah pesakit yang tak dapat katil dan ada yang perlu menunggu lama. Ada juga saya lihat berbaring di laluan hospital. Jadi, saya beritahu pihak hospital untuk pulang," kata Jalil lagi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!