Serangan kejam di Sri Lanka wajar dikutuk

Pihak berkuasa memeriksa salah sebuah gereja yang menjadi sasaran serangan bom serentak di Sri Lanka. Gambar kecil: Wan Salim
Pihak berkuasa memeriksa salah sebuah gereja yang menjadi sasaran serangan bom serentak di Sri Lanka. Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Serangan kejam di Sri Lanka sehingga meragut lebih 200 nyawa dan mencederakan ratusan rakyat negara itu dilihat sebagai satu perbuatan kejam dan terkutuk.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perbuatan terkutuk itu disifatkan dilakukan oleh mereka bersifat tidak bertamadun.

Menurutnya, serangan itu tidak boleh diterima dan perlu ditentang oleh masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama dan budaya.

"Sekali lagi masyarakat antarabangsa dikejutkan dengan tindakan ganas dan mengerikan di Sri Lanka. Serangan kejam ini dilaporkan telah meragut ratusan nyawa dan kecederaan orang awam. Lebih memilukan, serangan ini berlaku ketika sambutan Hari Easter oleh masyarakat beragama Kristian," katanya.

Menurutnya, mereka yang bertanggungjawab ke atas serangan itu wajar dikutuk seperti penjenayah yang terlibat dalam kejadian tembakan rambang di Christchurch, New Zealand pada Mac lalu.

"Jika kita mengutuk serangan ke atas penganut agama Islam di Christchurch, New Zealand baru-baru ini, maka dengan nada yang sama kita juga mengutuk serangan ke atas penganut agama Kristian di Sri Lanka. Saya juga menuntut agar mereka yang terlibat diadili dengan sewajarnya.

"Saya juga ingin mengajak pimpinan politik, agama dan kaum supaya berusaha meningkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan pengikut masing-masing mengenai kepentingan hubungan yang harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Angka kematian letupan di Sri Lanka cecah 290 orang

Artikel Berkaitan:

Wan Salim berkata, semua pihak perlu mengetepikan sikap taksub terhadap kaum dan agama sendiri serta mengelakkan perasaan bermusuh dan berprasangka terhadap agama lain.

"Umat Islam khususnya, saya ingin menasihati mereka supaya tidak terpengaruh dengan desakan atau permintaan untuk membenci dan memusuhi individu yang berbeza etnik dan agama dengan mereka.

"Perbezaan agama dan etnik perlu diterima sebagai realiti dan kehendak ALLAH SWT dengan tujuan agar boleh berkenalan dan saling membantu antara satu sama lain.

"Perbezaan agama tidak wajar dijadikan faktor permusuhan dan saling membenci antara satu sama lain. Saya yakin jika penganut pelbagai agama benar-benar memahami dan menghayati ajaran masing-masing, maka tindakan ganas seperti ini dapat dibendung.

"Masalah dunia hari ini, orang menggunakan agama untuk menjustifikasikan tindakan yang didorong oleh nafsu mereka, padahal agama tidak sama sekali merestui tindakan tersebut, malah bercanggah dengan ajaran-ajarannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!