Waspada jumpa JDT, elak jadi 'lubuk gol'

Penyerang JDT, Fernando Forestieri (tengah) melakukan percubaan ke arah gawang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin lalu.
Penyerang JDT, Fernando Forestieri (tengah) melakukan percubaan ke arah gawang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin lalu.
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mula memberikan amaran bahawa mereka tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada pasukan lawan selepas membelasah Negeri Sembilan 7-0 dalam aksi Liga Super pada Isnin.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, setiap pasukan terutama kelab ‘kerdil’ harus lebih berwaspada ketika menentang juara sembilan kali Liga Super itu untuk mengelakkan menjadi ‘lubuk gol’.

“Kita memang sudah boleh jangka JDT akan terus memperkuatkan pasukan musim ini kerana mereka mahu bersaing di Liga Juara-Juara AFC.

“Ia sesuatu yang bagus untuk melihat JDT semakin kuat. Apabila mereka bersaing di pentas antarabangsa dan mencipta kejayaan, mereka mampu mengharumkan nama negara.

“Kita juga perlu menerima hakikat JDT sebuah pasukan yang berada di aras yang berbeza. Sebab itu, setiap pasukan perlu lebih berwaspada dan cuba menyaingi kualiti JDT,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Kemenangan ke atas Negeri Sembilan menyaksikan Harimau Selatan gah di puncak liga dengan tiga kemenangan berturut-turut, selain masih belum bolos sejak liga bermula.

Dalam pada itu, Azlan percaya mana-mana pasukan mampu untuk mencipta peluang mengejutkan JDT sekiranya sesuai dengan taktikal yang diterapkan.

“Terpulang kepada jurulatih lain untuk mencari kelemahan JDT supaya dapat menandingi kelab tersebut. JDT pun tahu mereka tetap ada kelemahan.

“Kenapa saya cakap begitu? Jika JDT terlampau kuat, itu bermaksud orang lain tak boleh pegang bola langsung dalam tempoh 90 minit.

“Tetapi pasukan lain yang menentang JDT tetap ada peluang untuk jaringkan gol. Itu menunjukkan JDT ada kelemahan yang boleh digunakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar pasukan lain turut sama mempunyai visi dan misi seperti JDT, sekali gus dapat meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Setiap pasukan tidak boleh merungut dan kata JDT sudah terlalu hebat. Pasukan yang mentadbir setiap kelab perlu bekerja kuat untuk pastikan pengurusan yang kukuh dan dapat dana yang cukup.

“Jika pengurusan minta pemain berlari laju untuk mendapatkan bola, pengurusan juga perlu berlari laju untuk mencari dana. Barulah boleh menandingi JDT,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!