Eksekutif Felcra didenda RM10,000 tipu pejabat tanah

Rosnani dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.
Rosnani dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Seorang eksekutif kanan Felcra Berhad didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku salah memperdaya Pejabat Tanah dan Daerah Perak Tengah pada Khamis.

Tertuduh Rosnani Hashim, 55, didakwa dengan curang mendorong Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah untuk mempercayai seorang wanita lain yang membuat permohonan tanah pada 24 April 2019 bagi tanah pertanian di Mukim Bota.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman denda RM10,000 selain turut menetapkan hukuman penjara selama sebulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, permohonan tanah tersebut dibuat bagi tanah pertanian untuk tanaman kelapa sawit, yang memang diketahui oleh tertuduh tidak benar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di parkir Kompleks Pentadbiran Daerah Perak, kira-kira jam 11.20 pagi, 2 September 2021.

Tuduhan tersebut dikenakan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu juga, mahkamah turut memerintahkan wang rasuah RM6,000 dilucuthakkan kepada kerajaan di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!