Pekerja kontrak mengaku tidak salah cuba bunuh polis

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown pada Khamis.
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis.

Tertuduh, S Ramesh, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan membunuh dengan mendatangkan kecederaan pada anggota polis, Lans Koperal Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Lebuh Thean Teik di sini pada jam 12.15 tengah malam, 1 Mac lalu.

Dalam pendakwaannya, Jin Hong tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes serius.

Tertuduh kemudiannya memohon mahkamah agar memberi jaminan yang rendah kepadanya berikutan hanya bekerja sebagai pekerja kontrak dengan gaji bulanan RM1,300.

Dia bagaimanapun tidak mempunyai tanggungan selain belum berkahwin.

Dalam pada itu, Mohammad Khalid berkata, di atas budi bicara mahkamah, tertuduh yang tidak diwakili peguam diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mohammad Khalid turut menetapkan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu perlu melaporkan diri setiap awal bulan setiap bulan di balai polis terdekat selain dilarang menghampiri mangsa sehingga kes selesai.

Kes ditangguh sehingga 11 April untuk sebutan semula.

Sebelum ini, seorang anggota polis mengalami luka di kepala selain patah tulang di bahagian kiri kepalanya selepas ditetak seorang lelaki di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di sini.

Mangsa yang berusia 29 tahun itu mengalami luka torehan sepanjang sembilan sentimeter di dahi dan enam sentimeter di bahagian belakang selain mengalami patah pada tulang kepala sebelah kiri.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan pada jam 3.40 pagi, Rabu di kawasan Kondominium Sri Kristal di kawasan sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!