Lapan maut gempa bumi landa Filipina
MANILA - FILIPINA. [DIKEMASKINI] Sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan maut ekoran gempa bumi kuat yang melanda Pulau Luzon, semalam.
Laporan Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina menyatakan, gempa bumi berkekuatan 6.3 magnitud itu melanda Filipina sekitar jam 5.11 petang (waktu tempatan).
Berpuluh mangsa dikhuatiri masih terperangkap susulan bangunan runtuh di wilayah Pampanga yang juga kawasan paling teruk terjejas akibat gempa yang berlaku kira-kira 60 kilometer barat laut Manila pada kedalaman 40 kilometer itu.
Gabenor Lilia Pineda berkata, lapan orang dilaporkan maut manakala 20 lagi cedera di wilayah terbabit.
Pasukan penyelamat menggunakan jentera berat dan khidmat anjing pengesan bagi mencari mangsa yang terperangkap apabila sebuah bangunan empat tingkat runtuh dan menimpa pasaraya yang terletak di tingkat bawah.
Gempa bumi berkenaan turut dirasai di Manila di mana bangunan pencakar langit turut bergoyang selama beberapa minit.
Lapangan Terbang Antarabangsa Clark pula mengalami kerosakan teruk dengan sekurang-sekurangnya tujuh mangsa dilaporkan cedera.
Dalam pada itu, kerajaan meminta penduduk agar tidak panik dan jangan mudah percaya dengan khabar angin di media sosial tentang kemusnahan teruk dan kematian akibat gempa terbabit.
Terletak dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik, Filipina cenderung mengalami gempa bumi ekoran aktiviti seismik yang aktif. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!