Padah parkir lori di kawasan taman perumahan

Antara lori yang dikenakan tindakan selepas di parkir dalam kawasan taman perumahan.
Antara lori yang dikenakan tindakan selepas di parkir dalam kawasan taman perumahan.
A
A
A

SELAYANG - Empat lori muatan lebih lima tan disita selepas di parkir di kawasan taman perumahan di Taman Selayang Mutiara dan Taman Garing Gemilang pada Rabu.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam satu kenyataan berkata, kenderaan melebihi dua tan selain kepunyaan kerajaan atau badan berkanun tidak dibenarkan masuk ke taman perumahan tanpa kebenaran Yang Dipertua MPS.

Menurut kenyataan tersebut, peraturan tersebut termaktub di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPS) 2005, UUK7(1).

"Selain sitaan, empat lori turut dikenakan kompaun menerusi operasi kenderaan berat yang dijalankan jabatan penguat kuasa pada malam Rabu yang berakhir jam 3 pagi Khamis.

"MPS akan sentiasa membuat pemantauan dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa. Diharapkan pemilik lori dapat mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan," ujar kenyataan itu pada Khamis.

Operasi diketuai oleh Pengarah Penguatkuasa MPS, Ahmad Faizal Badiuzaman yang turut disertai Timbalan Yang Dipertua MPS, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Dalam pada itu, Adi Faizal berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan itu adalah bagi menyelesaikan aduan kacau ganggu yang diterima daripada orang awam.

Ujarnya, tindakan memarkir kenderaan berat di kawasan perumahan menimbulkan kacau ganggu kepada kawasan kejiranan selain isu keselamatan.

"Pada masa hadapan, ada keperluan untuk menyediakan kawasan lapang untuk dijadikan parkir kenderaan berat sebagai penyelesaian isu permasalahan itu.

"Selain itu, program kesedaran khususnya kepada pemandu lori dipertingkat agar mereka mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan dan mengundang masalah kepada orang awam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!