'Masjid, surau bukan tempat promosi politik parti'
SHAH ALAM - Politik kepartian tidak wajar dipromosikan di masjid atau surau walaupun rumah ibadah itu dimiliki bersama ahli parti.
Sebaliknya, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, masjid dan surau perlu kekal menjadi platform menyatukan semua pihak yang berbeza pandangan politik selari dengan matlamat kewujudan rumah ibadat itu.
Jelas beliau, semua parti politik sememangnya bersaing untuk mendapatkan kuasa namun yang mengeratkan semula mereka adalah persaudaraan Islam sebagai rakyat di negara ini.
“Memandangkan politik adalah sebahagian daripada Islam, maka bezakan antara politik Islam dan kepartian.
“Justeru, para alim ulama akan berbicara tentang politik Islam di mana-mana sahaja,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya mengakui akan meneruskan ceramah seperti biasa walaupun dilarang berbuat demikian.
Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, tindakan tersebut tidak menjadi satu kesalahan kerana dalam Islam tidak memisahkan politik dan agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!