Air bah 'kepung' kampung
BATU PAHAT - Keadaan laluan keluar masuk kampung yang ditenggelami air sejak seminggu lalu menyebabkan penduduk Kampung Pasir Panjang bimbang kejadian banjir lebih buruk akan berlaku.
Penduduk terpaksa berjalan kaki hampir satu kilometer meredah laluan kampung yang dinaiki air setinggi satu meter atau menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk keluar daripada kampung.
Penduduk, Zainon Musa, 49, berkata, rumah penduduk masih belum dinaiki air tetapi kampung mereka sudah umpama di pulau kerana dikelilingi bah.
Menyifatkan keadaan tersebut sebagai yang terburuk pernah berlaku sejak banjir pada 2006, suri rumah itu berkata, persiapan sudah dilakukan sekiranya air melimpah ke kawasan rumah penduduk.
"Setakat ini rumah belum dinaiki air, tetapi saya bimbang sekiranya air parit melimpah. Laluan keluar masuk kampung masih dipenuhi air sejak seminggu lalu. Belum pernah lagi berlaku situasi seperti ini, biasanya air akan surut cepat.
"Saya dan suami berjalan meredah banjir di laluan keluar masuk kampung untuk membeli barang di kawasan bandar. Anak datang untuk bantu beli barang di luar," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Bagi Syafiq Mokhtar, 30, pula, berkata, dia tampil membantu penduduk dengan menawarkan perkhidmatan kenderaan pacuan empat roda bagi membeli barangan makanan dan keperluan harian.
"Saya tolong penduduk belikan makanan dan barang keperluan penduduk. Selain itu, saya juga bantu mereka yang hendak keluar atau masuk kampung kerana laluan yang dinaiki air hanya boleh dilalui pacuan empat roda dan kenderaan berat.
"Sekiranya banjir semakin teruk, saya bersedia untuk berpindah ke PPS. Tambahan pula terdapat sebuah sungai di hujung Kampung Simpang Kanan," katanya yang juga seorang kakitangan awam.
Dalam pada itu, penduduk berhampiran turut bimbang dengan peningkatan air ketika fenomena air pasang besar akan menyebabkan banjir besar berlaku.
Haziq Bohari, 28, yang juga pekerja kilang di Kampung Parit Karjo berkata, meskipun cuaca cerah sejak dua hari lalu namun keadaan air parit masih penuh dan berisiko melimpah.
"Sudah hampir seminggu air parit penuh dan beberapa jalan dinaiki air. Setakat ini keadaannya masih sama dan kami penduduk cukup bimbang.
"Penduduk kebanyakannya sudah bersedia untuk berpindah ke PPS. Kami risau banjir besar yang pernah berlaku pada 2006 berulang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!