Mangsa pokok tumbang cadang ambil tindakan undang-undang

Andansura (kanan) menunjukkan lokasi pokok tumbang yang meragut nyawa anak perempuan Mohamad Hasnizam (tengah) selain menghempap enam kenderaan dalam kejadian di Taman Balok Baru di sini Januari lalu.
Andansura (kanan) menunjukkan lokasi pokok tumbang yang meragut nyawa anak perempuan Mohamad Hasnizam (tengah) selain menghempap enam kenderaan dalam kejadian di Taman Balok Baru di sini Januari lalu.
A
A
A

KUANTAN - Mangsa kejadian pokok tumbang yang meragut satu nyawa dan merosakkan harta benda di Taman Balok Baru di sini pada 19 Januari lalu bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi.

Tindakan itu sebagai langkah terakhir mereka apabila mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkaitan khususnya dari Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) ekoran kejadian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu berkata, mangsa terlibat kecewa apabila tiada wakil dari MBK dan kerajaan negeri amnya datang menemui mereka untuk berbicang tentang bantuan atau pampasan.

Menurutnya, pokok yang tumbang menghempap dua kanak-kanak sehingga seorang terkorban dan enam kereta milik mangsa di bawah pihak berkuasa tempatan ( PBT) dan MBK sewajarnya bertanggungjawab.

"Mangsa amat berharap agar masalah yang dihadapi mereka mendapat perhatian pihak berkenaan memandangkan kejadian itu berlaku sudah hampir dua bulan.

"Pihak saya sendiri telah menghantar surat berhubung perkara ini namun tiada maklum balas diterima setakat ini," katanya yang mewakili mangsa ketika ditemui di lokasi kejadian itu pada Rabu.

Turut hadir, Mohamad Hasnizam Manan, 45, bapa kepada remaja perempuan, Aliya Zahra, 13, yang maut dalam peristiwa itu dan empat mangsa lain.

Antara mangsa yang hadir pada pertemua bersama Andansura pada Rabu.
Antara mangsa yang hadir pada pertemua bersama Andansura pada Rabu.

Andansura berkata, selain Mohamad Hasnizam yang kehilangan anak perempuannya, ada juga mangsa yang cucunya cedera dan ada yang menanggung kerugian apabila kenderaan mereka rosak teruk akibat dihempap pokok tumbang itu.

"Difahamkan pihak MBK ada menemui bapa mangsa yang terkorban pada hari kejadian dan telah menghulurkan bantuan tunai namun selepas itu tiada lagi sebarang perjumpaan atau perbincangan berlaku antara kedua pihak.

"Sedangkan mangsa yang mengalami kerosakkan kenderaan amat berharap pihak terlibat dapat membantu mengurangkan beban ditanggung.

"Ansuran tetap kena bayar tapi kereta tidak boleh digunakan. Hendak baiki tidak berkemampuan kerana ada yang kosnya RM5,000 dan ada mencecah sehingga RM15,000.

"Jadi kita minta pihak berkenaan tampil berbincang dan melibat bentuk bantuan sewajarnya yang boleh dihulurkan bagi meringankan beban mereka," katanya.

Beliau berkata, sekiranya tiada maklum balas dan perbincangan berhubung perkara itu berlaku dalam tempoh seminggu ini, pihak mangsa akan meneruskan tindakan undang-undang.

"Mangsa faham dan tidak mengharapkan kerugian dialami ditanggung sepenuhnya pihak PBT namun sekurang-kurang ada usaha untuk membantu meringankan beban ditanggung mereka," ujarnya.

Dalam kejadian itu, Aliya Zahra maut akibat dihempap pokok tumbang ekoran angin kencang yang melanda kawasan taman permainan di Balok Baru 1 di sini.

Mangsa, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal berkata, mangsa yang terjejas dan mengalami kerugian akibat kejadian pokok tumbang itu boleh mengemukakan tuntutan insurans kepada MPK.

Menurutnya, pokok yang ditanam MBK dilindungi insurans dan pihak-pihak berkaitan boleh membuat tuntutan dengan mengemukakan surat peguam dan dokumen berkaitan.

"Kita ada prosedur untuk tuntutan tersebut jadi mereka perlu tampil mengemukakan tuntutan dan bukan menunggu perbincangan untuk bantuan atau pampasan.

"Setiap tuntutan kita akan teliti sama ada kejadian berlaku disebabkan bencana atau punca lain-lain sebelum tuntutan mereka dipertimbangkan," jelasnya ketika dihubungi pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!