KDEBWM bantu mangsa banjir di Johor
SHAH ALAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) telah menghantar lima unit lori Armroll/Roll-On-Roll-Off (RORO) bersama 20 anggota bagi Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang ke Labis, Johor pada Rabu.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, misi bantuan berkenaan diketuai oleh Pengurus Kanan Operasi KDEBWM, Zulhazmi Musa dan Ketua Operasi KDEBWM Cawangan Shah Alam, Mohd Rizal Abd Karim bagi membantu pembersihan kawasan pasca banjir di kawasan itu.
Menurutnya, misi bantuan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Selangor untuk misi bantuan banjir fasa kedua di Johor.
“KDEBWM sememangnya tidak asing lagi dengan kerja-kerja pembersihan pasca banjir selepas melakukannya pada Disember 2021.
"Kami berharap usaha kerja-kerja pembersihan ini dapat membantu dan meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!