Johor catat pelaburan asing RM70.6 bilion

Onn Hafiz Ghazi - Foto Bernama
Onn Hafiz Ghazi - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor mencatatkan penerimaan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara bagi tahun lalu iaitu sebanyak RM70.6 bilion.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaburan yang diterima itu bakal menghasilkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.

"Saya merakam penghargaan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ling Ting Han kerana membantu merealisasikan objektif untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini.

"Tidak dilupakan juga pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor serta semua agensi-agensi lain di peringkat Persekutuan dan negeri yang sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan akan terus mengorak langkah demi memajukan Johor," katanya dalam muat naik di Facebook rasminya pada Khamis.

Pada Disember tahun lalu, Johor dilaporkan mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila mencatatkan pelaburan paling tinggi untuk tempoh Januari sehingga September tahun lalu iaitu sebanyak RM63.9 bilion.

Berdasarkan statistik MIDA, pelaburan yang dicatatkan itu hampir 33 peratus daripada angka pelaburan nasional yang direkodkan iaitu RM193.7 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!