Muhyiddin dijangka dilepaskan petang ini, sertai solat hajat

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sesi soal siasat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka selesai lewat petang ini.

Beliau juga difahamkan akan keluar daripada bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini selepas siasatan, namun tidak diberitahu secara tepat waktunya, menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris.

Razali ketika ditemui Astro AWANI berkata, selepas keluar dari bangunan SPRM, Muhyiddin akan terus ke markas Pas Taman Melewar di Gombak, Selangor untuk program solat hajat.

“Tan Sri (Muhyiddin) dijangka lama... lama itu sampai ke malam. Kami semua pimpinan akan berhimpun di Taman Melewar.

"Bagaimanapun, selepas selesai, Tan Sri akan sertai pimpinan untuk solat hajat selepas selesai disiasat,” katanya kepada media di hadapan bangunan SPRM.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Muhyiddin akan didakwa pada Jumaat.

Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11.15 pagi tadi dan masuk ke dalam bangunan pada jam 11.22 pagi. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!