Bukan misi mustahil Azizulhasni sambar emas Olimpik
ATAS kertas, jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang masih dianggap calon pilihan bagi menghadiahkan kilauan pingat emas sulung buat kontinjen Malaysia di pentas Sukan Olimpik.
Bagi bekas Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad, Azizulhasni tetap mempunyai potensi menyambar emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Naim berkata, sekalipun Azizulhasni atau lebih dikenali dengan panggilan The Pocket Rocketman sudah menjangkau usia 35 tahun, namun ia bukan halangan buatnya menjelmakan kilauan emas.
“Tidak mustahil Azizulhasni melakar kemenangan dalam acara keirin di Paris selepas legenda Great Britain, Chris Hoy pernah melakukannya pada Olimpik London 2021 meskipun ketika itu dia berusia 36 tahun.
“Saya mempunyai harapan tinggi Azizulhasni untuk mencatat sejarah dan memenangi pingat emas bagi acara berbasikal keirin Olimpik sebelum dia bersara nanti.
“Selepas menjalani pembedahan (jantung), sekarang ini beliau sudah kembali bergiat cergas. Saya yakin dan percaya, Insya-ALLAH pingat emas pertama Olimpik (daripada Azizuhasni).
“Kalau kita lihat, Chris Hoy menang beberapa pingat emas termasuk di Olimpik walaupun dalam peringkat umur 36 tahun. Jadi ia tak mustahil berdasarkan kegigihan dan disiplin beliau,” katanya.
Naim berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pelan laluan kayuhan berbasikal OCBC Cycle Kuala Lumpur 2023 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut, Naim berkata, Azizulhasni mampu merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia untuk melihat emas sulung Olimpik bersandarkan prestasi semasanya ketika ini.
“Kita bersyukur serta berbangga kerana mempunyai bakat yang sungguh disiplin dan Azizulhasni memang ada semangat untuk menang.
“Beliau berlatih dengan bersungguh-sungguh, mengorbankan masa untuk mencapai matlamat ini. Kita doa kepada Allah SWT untuk memudahkannya,” ujarnya.
Azizulhasni dijangka sekali lagi menjadi taruhan kontinjen Malaysia untuk membawa pulang pingat emas dari bumi Paris selepas meraih pingat perak dan gangsa dalam dua temasya Olimpik sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!