'Diejek kerana sumbing, anak pernah merajuk tak mahu sekolah'
MELAKA - Seorang suri rumah mendakwa anaknya yang menghadapi masalah sumbing pernah diejek oleh rakan-rakan di sekolah kerana mulutnya yang berbeza dengan orang lain.
Bagaimanapun Wahida Puasa, 29, berkata, dia juga sering menasihatkan anaknya, Cahaya Abdullah, 8, supaya pergi ke sekolah dan niat hanya untuk belajar.
Menurutnya, disebabkan itu Cahaya pernah merajuk tidak mahu ke sekolah kerana malu diejek, namun dia dan suami sentiasa memujuk hati anak sulung daripada dua beradik itu.
"Sebagai ibu mana tak sedih bila anak diejek, namun saya faham kanak-kanak ada yang nakal.
"Cuma saya selalu nasihatkan dia sabar, pergi sekolah niat nak belajar dan dia faham," katanya ketika ditemui selepas program Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) di Kompleks Japerun Pengkalan Batu di sini pada Khamis.
Penyampaian berkenaan disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Kalsom Noordin.
Tambah Wahida, dia bersyukur anaknya terpilih menerima bantuan persekolahan tersebut memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai penghantar makanan.
"Saya ada terima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan, namun dengan keadaan sekarang banyak harga keperluan yang meningkat lebih-lebih lagi saya tidak bekerja.
"Dengan adanya bantuan ini dapat saya gunakan untuk bayar yuran persekolahan," katanya.
Pada program itu, seramai 20 murid yang kurang bernasib baik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu terpilih menerima sumbangan baucar RM200 setiap seorang bagi pembelian pakaian, kasut, beg dan peralatan tulis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!