Armand dakwa perwakilan Pemuda UMNO diugut

Armand Azha
Armand Azha
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendakwa perwakilan Pemuda parti menerima ugutan dan tekanan oleh pihak tertentu bagi menyokong calon pilihan parti.

Beliau yang juga calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, ugutan dan desakan itu dilakukan menerusi panggilan telefon sejak Rabu.

"Jangan takut dengan tekanan atau ugutan yang anda terima sejak semalam. Kita nak pilih barisan pemimpin, kita nak pilih masa hadapan parti. Bila mereka hubungi anda itu, sebab apa? Renung-renungkan.

"Anda tahu dalam hati siapa yang layak memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Jangan takut dengan tekanan. Jangan risau dengan ugutan. Kita Pemuda harus ada pendirian dan ketetapan. Lawan," katanya menerusi hantaran video berdurasi 36 saat di Facebooknya pada Khamis.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian.

Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO.

Selain Armand, turut bertanding merebut jawatan itu adalah Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan ahli UMNO, Meor Hassan Mat Ali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!