YBR bantu 171 keluarga mangsa banjir
SHAH ALAM - Kira-kira 171 keluarga mangsa banjir sekitar Segamat, Johor menerima bantuan tunai daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) bagi meringankan beban ditanggung mereka.
Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, bantuan sebanyak RM44,200 yang disediakan YBR itu dengan setiap keluarga mangsa banjir menerima sumbangan RM200.
Kata beliau, bantuan khas itu diberikan kepada setiap keluarga dikenalpasti melalui Persatuan Belia Generasi Merdeka bagi memudahkan proses pengagihan bantuan.
"Justeru, saya berharap bantuan tersebut juga dapat membantu ketua keluarga yang terjejas dan pihak Yayasan Bank Rakyat akan mengusahakan lebih banyak bantuan lagi bagi meringankan beban mereka yang terkesan di kawasan lain yang terjejas.
“Pihak kami amat bersimpati dengan kerugian yang dialami disebabkan oleh bencana ini dan sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka dalam menyediakan keperluan asas pasca banjir,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Majlis penyerahan bantuan disempurnakan oleh Penaung Persatuan Belia Generasi Merdeka, Datuk Bastien Onn di Dewan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam, Gemereh Segamat.
Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Tambah Syaiful Rizal, usaha murni itu diharapkan dapat memberi sedikit kegembiraan buat mereka terkesan dalam meringankan beban kewangan menguruskan persediaan anak-anak yang bakal kembali ke sekolah pada pertengahan bulan ini.
Sementara itu, Bastien menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak YBR kerana menyantuni mereka yang terkesan.
"Selain diharapkan dana yang diagihkan dapat digunakan bagi mendepani musibah banjir dan menjalani kehidupan harian seperti biasa,” ujarnya.
Pada 2022, Yayasan Bank Rakyat telah memperuntukkan lebih RM800,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!