Sasar 30 peratus bazar Ramadan di NS tawar menu Rahmah

Muhammad Zahir (kiri) ketika hadir pada program berkenaan, turut kelihatan Veerapan (tengah).
Muhammad Zahir (kiri) ketika hadir pada program berkenaan, turut kelihatan Veerapan (tengah).
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus lot bazar Ramadan di negeri ini menawarkan hidangan Menu Rahmah.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur bazar Ramadan untuk pelaksanaan program tersebut.

"Di peringkat KPDN Negeri Sembilan, kita ada Bazar Ramadan Rahmah. Sebagai permulaan, sebanyak 60 penganjur bazar Ramadan daerah Seremban telah diberi taklimat mengenainya disusuli dengan daerah lain pada 15 Mac ini.

"Kita juga ada pasukan pendigitalan industri perniagaan dan di situ kita akan berikan token e-wallet kepada peniaga dan pengunjung bazar Ramadan, jadi kedua-dua mereka dapat manfaat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Walkabout Cintai Asnaf Back To School di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Media pada Khamis melaporkan sasaran sebanyak 50 bazar Ramadan Rahmah diwujudkan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu, mengulas perkembangan tawaran menu Rahmah di Negeri Sembilan, Muhammad Zahir berkata, ia semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengusaha makanan, namun tidak mendapat hebahan secara meluas.

"Sehingga hari ini sebanyak 35 pengusaha makanan telah mendaftar dalam portal kita, namun saya yakin jumlah itu lebih sebenarnya, cuma mereka tidak mendaftar.

"Justeru, ia menyukarkan kita untuk membantu mereka mempromosikan premisnya kepada orang ramai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!