PATI sorok belakang pintu, dalam tandas

Sebahagian PATI yang ditahan bersembunyi di sebuah premis perniagaan di sini dalam satu operasi pada Rabu. FOTO JABATAN IMIGRESEN PERAK
Sebahagian PATI yang ditahan bersembunyi di sebuah premis perniagaan di sini dalam satu operasi pada Rabu. FOTO JABATAN IMIGRESEN PERAK
A
A
A

IPOH - Cubaan sekumpulan warga asing bersembunyi di sebalik pintu dan di dalam tandas untuk mengelak dicekup gagal apabila Jabatan Imigresen Perak berjaya mengesan mereka menerusi Ops Pintu di sebuah premis rumah kedai di Jalan Raja Musa Aziz pada Rabu.

Pengarahnya, Hapdzan Husaini berkata, menerusi operasi terbabit, seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Jelas beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan empat wanita warga Myanmar masing-masing berusia antara 18 hingga 45 tahun termasuk seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

"Operasi yang dijalankan dilaksanakan sekitar jam 7.30 malam dan berakhir pada jam 9.30 malam itu dijalankan di kawasan premis perniagaan melibatkan 18 orang pegawai Imigresen dari Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.

"Pasukan serbuan terpaksa mengumpil pintu masuk premis kerana penghuni enggan membuka pintu setelah diminta beberapa kali oleh pegawai serbuan. Kehadiran pasukan operasi di lokasi menyebabkan mereka bertempiaran lari cuba bersembunyi di belakang pintu, di dalam tandas dan juga di bumbung rumah.

"Bagaimanapun kesemua mereka gagal meloloskan diri kerana kecekapan pasukan operasi yang berjaya menutup semua ruang dengan mengepung premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jabatan Imigresen Perak berjaya menahan 30 PATI menerusi Ops Pintu yang dijalankan pada Rabu. Foto: Jabatan Imigresen Perak
Jabatan Imigresen Perak berjaya menahan 30 PATI menerusi Ops Pintu yang dijalankan pada Rabu. Foto: Jabatan Imigresen Perak

Hapdzan berkata, pihaknya percaya premis terbabit merupakan lokasi transit bagi PATI yang diseludup oleh sindiket penyeludupan sebelum diserahkan dengan bayaran daripada majikan-majikan berminat mengambil mereka bekerja.

Menurutnya, wang tunai berjumlah RM40,000 turut ditemui di premis berkenaan dirampas termasuk beberapa pasport asing yang disimpan oleh penjaga premis berkenaan.

Jelasnya, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu memasuki dan berada di Malaysia tanpa sebarang pas yang sah dan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan di bawah Akta Pasport 1966.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!