Kerajaan saran guna wang KWSP sebagai cagaran pinjaman bank

Kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum KWSP membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman sebagai cagaran kepada bank.
Kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum KWSP membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman sebagai cagaran kepada bank.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai kolateral atau cagaran kepada bank.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun kaedah itu hanyalah bagi mereka yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang.

"Pada prinsipnya saya tidak setuju pengeluaran khas dana simpanan persaraan rakyat.

"Bagaimanapun, saya akan pastikan supaya KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak untuk pinjam daripada bank dengan kolateral atau jaminan cagaran daripada wang KWSP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Anwar berkata, ia merupakan langkah terbaik yang boleh dilakukan sekarang memandangkan ketika ini banyak negara yang memberikan kelonggaran seperti pengeluaran dana persaraan telah menghentikan atau membatalkan kemudahan itu.

Anwar turut membidas sikap pembangkang yang membawa hujah menggambarkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan bersifat menindas.

Beliau berkata, pemberian dan bantuan kewangan kepada negeri termasuk yang ditadbir pembangkang turut meningkat pada tahun ini berbanding terdahulu.

"Kelantan RM351.5 juta, Terengganu RM411.1 juta, Perlis RM154 juta. Lepas tu nak banding dengan Sabah dan Sarawak.

"Tak adil nak banding dengan Sabah, Sarawak sebab mereka masuk bersama Malaysia kemudian, kawasan-kawasan desa jauh ketinggalan, jauh lebih teruk dari kawasan miskin.

"Ini bukan soal kepentingan politik, saya konsisten dalam hal ini. Kalau kita belanja RM10 juta, kita kena tambah RM100 juta di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memberikan peruntukan pembangunan keseluruhan RM6.2 bilion kepada Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis pada tahun ini.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Anwar, kemudian diluluskan di peringkat dasar setelah dibahaskan selama enam hari bermula 27 Februari lepas dan sesi penggulungan oleh setiap kementerian.

Belanjawan 2023, yang dibentangkan Anwar pada 24 Februari lepas, memperuntuk sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion untuk belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Menurut takwim di laman Parlimen, rang undang-undang itu akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari bermula Isnin depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!