Bangkai pesawat Cessna, 6 mayat ditemukan di utara Filipina
MANILA - Pasukan penyelamat pada Khamis menemukan enam mayat dan bangkai pesawat Cessna yang dilaporkan hilang sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang di wilayah Isabela utara Filipina pada 24 Januari.
Ketua Pejabat Pengurangan Risiko dan Pengurusan Wilayah Isabela, Constante Foronda berkata, pasukan penyelamat menemui serpihan pesawat itu di cerun gunung yang terpencil berhampiran sebuah majlis perbandaran, lapor Xinhua.
"Serpihan itu dikenal pasti berdasarkan warna dan nombor di ekor pesawat,” kata Foronda dalam wawancara radio.
Beliau menambah bahawa pasukan penyelamat sedang mengeluarkan enam mayat, termasuk juruterbang dan lima penumpang.
Bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa sehingga tiga hari untuk mengeluarkan kesemua mayat berikutan keadaan muka bumi dan cuaca tidak menentu.
Pesawat kecil itu dilaporkan dalam perjalanan menuju ke sebuah bandar di wilayah Isabela tetapi gagal sampai ke destinasi.- Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!