Klinsmann mahu pulihkan prestasi Heung-min

Heung-min - Foto AFP
Heung-min - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Korea Selatan, Jurgen Klinsmann akan berusaha mengeluarkan Son Heung-min daripada prestasi buruknya apabila penyerang Tottenham Hotspurs itu menyertai Taegeuk Warriors untuk perlawanan pertama pengurus dari Jerman itu akhir bulan ini.

Klinsmann secara rasmi diumumkan sebagai pengganti Paulo Bento pada sidang akhbar di Seoul pada 9 Mac lalu menyaksikan pemain berusia 58 tahun itu menggariskan hasratnya untuk menamatkan kemerosotan Heung-min.

“Saya peminat tegar Sonny. Dia mengharungi Piala Dunia 2020 yang sukar kerana tidak berapa sihat dan cergas.

“Saya melihat semua perlawanan dan bersimpati untuknya tetapi saya percaya ini adalah tempoh biasa. Semua pemain akan melalui fasa pasang surut. Situasi di Tottenham juga tidak begitu mudah.

“Saya harap akan berjumpa Sonny dalam masa dua minggu dan dia datang dengan senyuman dan teruja mengharungi cabaran bersama pasukan,” kata Klinsmann mengenai pemain yang menamatkan saingan berstatus penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Heung-min menjaringkan 23 gol untuk Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu bagi menamatkan saingan di puncak carta penjaring terbanyak bersama pemain Liverpool, Mohamed Salah, namun sejak itu pemain berusia 30 tahun itu hanya menjaringkan lima gol dalam liga.

Di Qatar, dia terpaksa bermain dengan topeng muka pelindung semasa Piala Dunia 2022 selepas mengalami kecederaan patah tulang mata ketika berdepan Marseille dalam Liga Juara-Juara seminggu sebelum ke Qatar.

Prestasi Heung-min terus merosot daripada standard sebelumnya sejak kembali dari Piala Dunia, menyaksikan Korea Selatan disingkirkan Brazil dalam pusingan 16 terbaik.

Klinsmann berharap dia boleh menggunakan pengalamannya sendiri untuk membantu menghidupkan semula Heung-min mereka bertemu untuk perlawanan persahabatan menentang Colombia dan Uruguay masing-masing pada 24 Mac dan 28 Mac.

“Saya akan mengenalinya lebih jauh, lebih baik lagi dan saya boleh memberinya galakan dan motivasi untuk menikmati dirinya dalam apa jua peranan dan bagaimana dia bermain di atas padang.

“Namun itu semua bergantung kepada pertemuan itu. Anda memikirkannya apabila anda bercakap dengan pemain, apakah peranan terbaik setiap orang dan bagaimana anda boleh melindungi satu sama lain,” kata Klinsmann, yang pernah dua kali bersama Tottenham semasa karier bermainnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!