Muhyiddin yakin PH akan dihukum rakyat
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Pakatan Harapan (PH) dan parti yang bersekongkol akan dihukum rakyat dalam pilihan raya.
Dakwanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui bahawa PN mendapat sokongan padu daripada rakyat.
"Sokongan ini terutamanya orang Melayu serta Bumiputera dan akan menang besar dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Saya yakin dan percaya, dengan izin ALLAH jua, Anwar, PH dan parti-parti yang bersekongkol dengannya akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada Khamis.
Tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau tidak bersalah dan akan menjawab segala pertuduhan di mahkamah.
Ujarnya, SPRM juga telah mengembangkan pertuduhan terhadapnya menjadi tujuh pertuduhan.
"Tujuannya adalah untuk memalukan saya dengan mengheret saya ke mahkamah esok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!