15 lelaki ditahan bantu siasatan kes merusuh
RAUB - Seramai 15 lelaki ditahan pada Rabu bagi membantu siasatan kes merusuh di tepi jalan hadapan Taman Kelau Jaya di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman memberitahu, kesemua suspek berusia lingkungan 15 hingga 50 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Sungai Ruan.
Menurutnya, pihak polis telah menerima satu aduan daripada seorang lelaki jam 12.03 tengah hari pada Rabu yang mendakwa telah berlaku satu pergaduhan melibatkan satu kumpulan lelaki di kedai berhampiran taman tersebut kira-kira jam 10.30 malam pada Selasa.
"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan tindakan pengadu menegur sekumpulan lelaki itu yang memarahi beberapa budak lelaki di kawasan kejadian.
"Ia menimbulkan pertengkaran mulut dan berakhir dengan pergaduhan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, ekoran daripada kejadian tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap suspek terlibat.
"Saki-baki mereka yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu masih giat dijalankan pihak polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh," jelas Mohd Shahril.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga kesejahteraan serta keamanan masyarakat.
Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang yang memecahkan keamanan dan ketenteraman awam.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di talian 09-355 2222," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!