Buka 'jalan' tambah pendapatan berlipat ganda
KOTA BHARU - Dua peserta Program Yayasan Petronas Empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan kini berjaya mengubah taraf hidup selepas pendapatan dalam perniagaan semakin meningkat.
Pemilik bengkel motosikal, Muhamad Thaqib Azahari, 27, mengakui purata pendapatannya sebelum ini hanya RM700 kini meningkat lebih RM4,000 sebulan bergantung kepada pelanggan perkhidmatannya.
Muhamad Thaqib memberitahu, program yang turut mendedahkan teknik pemasaran itu membeli peluang kepada peserta mengenal kaedah pemasaran.
"Saya mendapat maklumat mengenai kursus ini daripada seorang rakan dan terus bersetuju kerana mahu menambah ilmu dalam bidang yang memang saya minat sejak kecil," katanya pada Program Pembangunan Modal Insan ECER di sini pada Khamis.
Anak bongsu daripada sepuluh beradik yang juga seorang penghafaz 30 juzuk al-Quran itu mula bekerja di bengkel kenderaan pada usia 18 tahun.
"Sejak itu saya mempunyai impian mengubah kehidupan dan berhasrat menjadi pemilik sebuah bengkel moden yang mempunyai peralatan lengkap.
"Kursus ini membuka idea dan memberi 'jalan' untuk saya berniaga dan berkongsi pengalaman bersama rakan lain," katanya.
Bagi pembuat kuih tradisional dan moden, Suhartini Yakub, 47, kuih-muihnya di bawah jenama Akak Gebuss Kitchen kini mula dikenali dan pendapatan juga mencecah hampir lima angka.
Menurut Suhartini, sebelum ini dia hanya menghantar kuih di beberapa kedai tetapi terus bersemangat selepas menyertai Program Yayasan Petronas Empower ECER.
"Ketika itu saya tidak yakin menggunakan jenama sendiri sehingga menyertai kursus ECER dan Yayasan Petronas," katanya.
Suhartini yang kini bersedia untuk membuat biskut raya memberitahu, pendapatan hasil biskut itu boleh mencecah sehingga RM30,000.
Sementara itu, Pengurus Besar Pertronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly berkata, Petronas berusaha memastikan masyarakat di negara ini dapat mengubah kehidupan ke arah lebih baik.
"Kami sedar usaha merapatkan jurang kemiskinan dan pengangguran memerlukan komitmen berterusan.
"Justeru, program ini digubal bagi memastikan pencapaian matlamat jangka panjang ke arah pencapaian negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Program Pembangunan Modal Insan ECER dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!