JDT sukar berdepan TRW - Solari

Ketiadaan Bergson mungkin menyaksikan seorang lagi penyerang, Diogo bakal mengepalai jentera serangan JDT. - Foto Facebook Johor Southern Tigers.
Ketiadaan Bergson mungkin menyaksikan seorang lagi penyerang, Diogo bakal mengepalai jentera serangan JDT. - Foto Facebook Johor Southern Tigers.
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari meramalkan aksi sukar berdepan Kelantan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Menurut Solari, biarpun masih segar dengan kemenangan 7-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Isnin lalu, kesebelasan skuad Harimau Selatan itu perlu berhati-hati berdepan skuad The Red Warriors (TRW) itu yang dilihat turut merekodkan peningkatan ketika ini.

“Kita berdepan tugas sukar menentang Kelantan FC. Skuad ini telah menunjukkan peningkatan dan juga menang pada pertemuan sebelum ini.

“Namun, apa yang penting adalah kita akan fokus kepada pasukan sendiri, cara kita bermain, percaya dengan kualiti yang dimiliki dan mengukuhkan lagi benteng pertahanan kita yang setakat ini berfungsi dengan baik mengekang asakan-asakan lawan.

“Malah diharapkan koordinasi berkenaan akan berterusan untuk kita memastikan pintu gol kita tidak dibolosi,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan FC menewaskan Penang FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Ahad lalu.

Mengulas mengenai situasi penyerang import, Bergson Da Silva yang dilaporkan mengalami kecederaan, Solari berkata, pihaknya mahu memastikan penyerang kelahiran Brazil itu benar-benar cergas sebelum beraksi.

Katanya, dia juga tidak mahu terburu-buru menurunkan Bergson yang masih belum cergas sepenuhnya kerana ia mungkin menyebabkan kecederaan yang dialami berpanjangan.

“Buat masa ini, terlalu awal untuk kita katakan mengenai Bergson... memang dia pemain utama kami, tetapi jika dia tidak bersedia untuk beraksi, kita ada calon pengganti yang memiliki kualiti yang sama.

“Kita juga tidak mahu terburu-buru menurunkan mana-mana pemain yang belum cukup cergas untuk beraksi kerana ia hanya mengundang risiko,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!