Arteta kecewa Arsenal lepaskan gol mudah
MIKEL Arteta tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan prestasi Arsenal selepas hanya mampu seri 2-2 dengan Sporting Lisbon pada Jumaat.
The Gunners mendahului pada separuh masa pertama apabila William Saliba menanduk masuk sepakan sudut Vieira pada minit ke-22 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi Goncalo Inacio dalam aksi di Jose Alvalade itu.
Paulinho meletakkan Sporting di depan selepas rehat, tetapi jaringan sendiri Hidemasa Morita tujuh minit kemudian akhirnya memastikan Arsenal meraih keputusan seri untuk aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Europa di Emirates minggu depan.
"Kami melepaskan terlalu banyak gol mudah. Kami tidak bertahan dengan cukup baik, dan kami juga harus lebih baik dalam memberikan ancaman kepada pihak lawan.
"Tetapi sudah tentu, anda mempunyai lawan yang hebat. Kami telah bermain beberapa perlawanan yang sangat sukar baru-baru ini.
"Kami membuat banyak perubahan dan kadangkala itu mengambil masa untuk mendapatkan kesefahaman. Anda dapat merasakannya dalam 15 minit pertama bahawa ia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri," katanya.
Arteta menegaskan apabila pasukan melepaskan dua gol mudah, ia akan menjadi sukar untuk meraih keputusan positif terutama apabila bermain di Eropah.
"Permainan mempunyai fasa yang berbeza kerana kami memberikan terlalu banyak bola mudah di bahagian kami sendiri dan memberi mereka peluang untuk menjaringkan gol.
"Namun, terdapat beberapa perkara positif kerana kami menunjukkan banyak mampu kembali ke dalam permainan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!