Dr Farah Nini dilantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Dr Farah Nini
Dr Farah Nini
A
A
A

SHAH ALAM - Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM), Dr Farah Nini Dusuki dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkuat kuasa Rabu lalu (8 Mac).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelantikan selama tiga tahun itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] selepas mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan berharap dengan lantikan Dr Farah Nini sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak maka pelbagai isu kanak-kanak yang berlaku di Malaysia akan diberi perhatian lebih mendalam.

"Ini bagi memastikan hak asasi serta keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita sentiasa terpelihara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Azalina, Dr Farah Nini mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak.

Ujarnya, pensyarah yang telah berkhidmat di UM sejak 2007 itu juga pernah berkhidmat di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa selama 15 tahun.

Tambah beliau, Dr Farah Nini telah memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom pada tahun 2002 dengan tesis yang menganalisa permasalahan sosio-perundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

"Bidang-bidang kajian beliau merangkumi perundangan mengenai pengadilan jenayah (criminal justice), undang-undang kanak-kanak (child law), perlindungan remaja dalam isu kesihatan reproduktif seksual dan pelaksanaan serta penguatkuasaan hak kanak-kanak di Malaysia," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!