Pengurus mengaku tidak salah pecah amanah
SEREMBAN - Seorang bekas pengurus syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah wang hasil jualan syarikat itu berjumlah lebih RM41,000 tahun lalu.
Tertuduh, Siti Khadyja Razali, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengurus di syarikat berkenaan yang telah diamanahkan suatu harta iaitu wang hasil jualan syarikat berjumlah RM41,143.50 telah melakukan pecah amanah jenayah.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Aeon Nilai dekat Nilai pada 17 Jun hingga 27 Julai tahun lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Suprintendan,L.Rathna mencadangkan mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum atas alasan tertuduh sudah tidak bekerja.
Asiah berkata, tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang ditahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 24 Mac depan.
Sementara itu,di luar bilik mahkamah, terdapat ahli keluarga tertuduh tidak berpuas hati dengan pengamal media yang membuat liputan kes berkenaan dan menghalang jurugambar mengambil gambar tertuduh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!