58 lokasi pelupusan sampah haram dikenal pasti dan dibersihkan

Sebuah kawasan pembuangan sampah haram di Triang Bera yang telah dibersihkan pihak SWCorp daerah terlibat. -Foto SWCorp Pahang
Sebuah kawasan pembuangan sampah haram di Triang Bera yang telah dibersihkan pihak SWCorp daerah terlibat. -Foto SWCorp Pahang
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 58 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan pelupusan sampah haram dan telah dibersihkan di negeri ini sehingga Februari lalu.

Daripada jumlah itu, hanya empat lokasi masih aktif dan menjadi "hotspot' pembuangan sampah berulang.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, tapak pelupusan sampah haram dikenal pasti itu berada di Jerantut, Muadzam Shah, Bera, Raub, Kuantan, Pekan, Cameron Highlands dan Temerloh.

Menurutnya, Kuantan mempunyai tapak pelupusan haram tertinggi dengan enam lokasi dikenal pasti.

Salah satu kawasan pembuangan sampah haram yang telah dibersihkan di daerah Jerantut. -Foto SWCorp Pahang
Salah satu kawasan pembuangan sampah haram yang telah dibersihkan di daerah Jerantut. -Foto SWCorp Pahang

"Antara jenis sisa pepejal yang sering dibuang di tapak pelupusan sampah haram adalah sisa binaan, sisa domestik, sisa komersial dan sisa pukal kebun," katanya kepada Sinar Harian.

Sharudin berkata, berapa kes telah diambil tindakan termasuk pendakwaan terhadap individu terlibat.

"Sebanyak 22 kertas siasatan telah dibuka sejak tahun 2017 hingga 2021 dengan nilai kompaun RM363,500. Sepanjang tahun lalu, empat kertas siasatan telah dibuka dan dua kes pendakwaan sedang berjalan di mahkamah," jelasnya.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak kurang 6 bulan jika sabit kesalahan.

"Bagi mengurangkan aktiviti pembuangan sampah di tapak pelupusan haram, SWCorp Pahang telah mengadakan beberapa inisiatif termasuk Program 'Trash to Cash'.

Pogram 'Trash to Cash' bantu kurangkan penghasilan sampah haram dengan mengubah persepsi masyarakat barang-barang kitar semula boleh ditukarkan dengan wang tunai. -Foto SWCorp Pahang
Pogram 'Trash to Cash' bantu kurangkan penghasilan sampah haram dengan mengubah persepsi masyarakat barang-barang kitar semula boleh ditukarkan dengan wang tunai. -Foto SWCorp Pahang

"Pogram ini dapat mengurangkan penghasilan sampah haram dengan mengubah persepsi masyarakat bahawa barang-barang kitar semula boleh ditukarkan dengan wang tunai," ujarnya.

Tambah beliau, melalui program itu, pihaknya berjaya mengutip lebih 600 tan barang terpakai di seluruh negeri dengan nilai RM294,809 tahun lalu.

Jelasnya, tahap kesedaran masyarakat terhadap kebersihan alam sekitar masih di tahap yang rendah memandangkan kes sampah haram masih berlaku.

"Selain pembuangan sampah di lokasi yang tidak dibenarkan, perbuatan membuang sampah dari kenderaan dan sebagainya turut berlaku dan menjadi punca kepada pencemaran alam sekitar.

"Bagi mengubah situasi itu, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mendidik orang ramai untuk tidak membuang sampah merata-rata," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!