Ahli politik Pas disaran mohon tauliah kuliah di masjid

Husain Awang
Husain Awang
A
A
A

MARANG - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang menyarankan pemimpin dan aktivis politik daripada parti itu supaya memohon tauliah bagi membolehkan mereka menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau secara sah di negeri ini.

Menurutnya, setakat ini sudah ada pemimpin dan ahli politik Pas yang telah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Insya-ALLAH kita mohon (tauliah). Ada yang (sudah) mohon, ada yang dapat, ada yang tidak dapat,” katanya selepas hadir ke Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Majlis penyerahan sumbangan lebih RM800,000 tersebut disempurnakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Husain, pemimpin Pas menggunakan masjid dan surau untuk menyampaikan kuliah serta ceramah agama kepada masyarakat, bukan berpolitik sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

Jelas beliau, menyebarkan agama merupakan tugas dan tanggungjawab sebagai orang Islam.

“Menjalankan dakwah, menyampaikan amar makruf dan nahi mungkar kepada rakyat itu tugas asasi kita walau di mana juga.

“Islam ini, di bukit pun Islam, di laut pun Islam, darat pun Islam, di masjid apatah lagi,” katanya.

Sebelum ini, semua pemimpin dan aktivis politik di Terengganu tidak dibenarkan menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.

Larangan itu dikeluarkan melalui kenyataan rasmi Maidam pada 3 Mac lalu.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!