KPKT, KPDN bincang perluas Bazar Ramadan Rahmah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam masa terdekat bagi penganjuran Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif dirancang KPDN itu yang bakal memperkenalkan kadar sewa Rahmah bagi setiap tapak di bazar berkenaan.

"Kita akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama KPDN mengenai pendekatan ini dalam masa terdekat kerana pelaksanaannya dilakukan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengeluarkan kelulusan permit bazar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perbandaran Hijau (GUF) 2023 Sempena Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan lebih banyak lokasi penganjuran Bazar Ramadan Rahmah untuk dipertimbangkan supaya inisiatif itu dapat memanfaatkan lebih ramai rakyat terutama golongan B40.

Pada 22 Februari lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bakal mengadakan sesi libat urus bersama PBT dan pemain industri bagi merancang penganjuran Bazar Ramadan Rahmah di beberapa lokasi strategik yang sudah dikenal pasti.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, KPKT pada masa ini memberi tumpuan kepada perancangan bandar yang seimbang melalui PBT dengan tidak melupakan keselesaan penduduknya.

"Memang ada perbincangan kementerian sendiri untuk pembangunan dan dari segi agihan Belanjawan 2023 mencakupi semua segmen masyarakat, jadi ada keseimbangan atau mengurangkan kesenjangan antara wilayah dan kelas pendapatan. Sebab itu antara tumpuan menoktahkan kemiskinan memang ada program khususnya Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)," katanya.

Terdahulu, Akmal Nasrullah berkata, GUF 2023 merupakan satu platform perkongsian pengetahuan dan kepakaran tentang aspek perbandaran hijau khususnya berkaitan pembangunan dan pengurusan landskap. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!