Remaja maut motosikal rempuh lembu melintas
GUA MUSANG - Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang melanggar seekor lembu di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini pada Khamis.
Ketika kejadian jam 9.35 malam itu, mangsa, Mohd Adam Haikal Mohd Asri, 16, yang menunggang motosikal jenis Y15 ZR melanggar lembu yang sedang melintas.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dibantu dan dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 oleh orang awam.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan pada jam 9.55 malam.
"Jenazahnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Choon Foo turut mengingatkan penternak agar tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berada di luar kandang pada waktu malam kerana mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya dan kawasan perumahan boleh didakwa oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001.
“Bagi kes kemalangan jalan raya akan diambil tindakan mengikut APJ 1987 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!