'Saya sudah selesai' - Zii Jia
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meluahkan kekecewaan di InstaStory miliknya selepas kekalahan kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hao, 21-15, 20-22, 21-23 pada aksi pusingan kedua Terbuka Jerman di Mulheim, pada Khamis.
"I'm f*****g done (saya sudah selesai)," tulis Zii Jia di InstaStory miliknya.
Hantaran di InstaStory itu menimbulkan pelbagai persoalan namun ramai peminat badminton negara percaya ia berkaitan prestasinya yang terus merudum tahun ini.
Zii Jia memulakan kempen kejohanan berstatus Super 300 Jelajah Dunia BWF itu dengan menewaskan pemain Denmark, Magnus Johannesen, 21-11, 21-5 pada Rabu.
Namun, kecemerlangan itu gagal diteruskan apabila terpaksa akur dalam pertarungan tiga set kepada pemain di ranking ke-49 dunia itu.
Sejak menjuarai Terbuka Thailand tahun lalu, Zii Jia masih belum meraih sebarang kejayaan musim ini.
Pemain berusia 24 tahun ini memulakan musim 2023 dengan persembahan kurang bermaya pada tiga kejohanan apabila tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia diikuti pusingan kedua masing-masing pada Terbuka India dan Masters Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!