Guna MPV seludup 1,360kg minyak masak peket
TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas kira-kira 1,360 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dianggarkan bernilai RM3,400 selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah premis di Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu, di sini pada Khamis.
Penahanan MPV jenis Perodua Alza itu dilakukan menerusi kerjasama KPDN Kelantan dengan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor kira-kira jam 12.10 tengah hari melalui Op Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, pihaknya menerima aduan mengenai sebuah MPV yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Kota Bharu menghala ke Tumpat.
"Menyedari dirinya diekori, suspek telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan melarikan diri tanpa dikesan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas MPV itu membawa kepada penemuan beberapa kotak yang mengandungi minyak masak peket bersubsidi sebanyak 1,360 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, nilai rampasan anggaran minyak masak peket termasuk MPV itu dianggarkan berjumlah RM23,400 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ujar Azman, KPDN Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi negara.
"KPDN Kelantan sentiasa melaksanakan Pemantauan Rondaan Pencegahan Penyelewengan Subsidi di sekitar sempadan negara dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!