Angkasa sasar 200 cawangan CoopHardware menjelang 2025
ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan untuk membangunkan 200 cawangan CoopHardware yang diusahakan oleh koperasi anggotanya di seluruh negara menjelang 2025.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini, terdapat 20 outlet CoopHardware koperasi naungan Angkasa dan optimis sasaran itu akan dicapai berikutan trend permintaan untuk menambahkan bilangan cawangan itu meningkat dalam kalangan anggota koperasi.
“CoopHardware menawarkan bahan binaan dengan harga kompetitif iaitu lebih murah sebanyak 10 hingga 20 peratus berbanding harga pasaran. CoopHardware juga menyediakan lebih 32 bahan binaan antaranya paku, simen dan besi yang berkualiti.
“Angkasa telah mengambil bahan binaan ini secara pukal dari pembekal luar negara antaranya dari China. Kita juga menjangkakan akan mengambil dari pembekal dari beberapa negara lain antaranya dari Jerman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik Tulip Untuk Warga Koperasi Perumahan Awam Malaysia (Kopama) Berhad dan Chester Denai Alam Sdn Bhd (Chester ) di sini pada Jumaat.
Pada majlis itu, Abdul Fattah menyaksikan Pengerusi Kopama, Datuk Abd Rahim Hashim dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Chester Group, Datuk Howard Chew menandatangani perjanjian kerjasama tersebut. Turut hadir ialah Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Presiden Asean Co-Operative Organization (ACO) berkata, Coophardware dapat mengurangkan kos bahan binaan sektor hartanah terutamanya kepada koperasi.
“Ia juga membantu untuk menyediakan rumah atau premis perniagaan kepada anggota koperasi pada harga yang lebih mampu milik dan mewujudkan konsep 'rent to own' kepada anggota koperasi.
“Ia juga boleh menggunakan konsep pembiayaan 'musyarakah mutanaqisah' kepada anggota di mana perkongsian pemilikan rumah di antara anggota dan koperasi sehingga pembiayaan diselesaikan sepenuhnya oleh anggota. Ia juga memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga ke generasi ke dua berdasarkan keanggotaan koperasi,” kata Abdul Fattah.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama Kopama dan Chester, Abdul Fattah berkeyakinan kerjasama itu akan merancakkan sektor hartanah dan pembinaan koperasi di negara ini khususnya pemilikan rumah untuk anggota koperasi.
“Kerjasama strategik ini merupakan usaha yang digalakkan untuk memacu sektor koperasi sebagai penyedia rumah mampu milik dan lot-lot perniagaan pada harga berpatutan.
“Dengan kekuatan sektor koperasi perumahan berjumlah 309 dan pembinaan berjumlah 248 koperasi, saya percaya gerakan koperasi dapat mengembalikan kegemilangan sebagai penyedia perumahan mampu milik seperti yang pernah dicapai sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Chew berkata, menerusi kerjasama itu, Chester menyediakan sebanyak 150 unit rumah terdiri daripada pembangunan bercampur iaitu apartmen servis dan pejabat kecil rumah pejabat (Soho) kepada pihak Kopama dan pembinaan itu dijangka siap pada tahun 2025.
“Tulip merupakan projek perumahan di kawasan Denai Alam. Kami menawarkan harga yang berpatutan bermula RM300,000 hingga RM600,000 kepada Kopama. Kediaman ini mempunyai 32 tingkat dan terdiri daripada dua blok.
“Kediaman ini yang terletak di kawasan Denai Alam ini menyediakan akses perhubungan lebuhraya yang mudah kepada pembelinya untuk ke Lembah Klang. Ia juga dikelilingi oleh pelbagai kemudahan asas, berdekatan kompleks membeli-belah, universiti dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!