Pemuda Amanah nafi anjur himpunan bantah kuliah Abdul Hadi

Poster palsu yang disebarkan dalam media sosial sejak Khamis. (Gambar kecil: Zamir)
Poster palsu yang disebarkan dalam media sosial sejak Khamis. (Gambar kecil: Zamir)
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menafikan pihaknya menganjurkan himpunan bantah kuliah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagaimana tular dalam media sosial.

Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, penyebaran poster program yang didakwa diadakan pada jam 8.30 pagi Jumaat bertempat di persimpangan lampu isyarat Rusila, Marang itu adalah palsu dan bersifat fitnah terhadap Amanah.

“Saya hanya mengetahui perkara ini semalam (Khamis) selepas ia bertebaran dalam Facebook dan WhatsApp.

“Ini (poster program) adalah palsu, fitnah dan perkara tidak bertanggungjawab yang sengaja ditimbulkan dengan tujuan untuk menimbulkan provokasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu akan mengambil tindakan terhadap pihak menyebarkan maklumat palsu tersebut.

“Saya sedang mengumpulkan maklumat dan akan memulakan proses laporan polis serta tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat berkongsi sebaran,” katanya yang kesal dengan fitnah tersebut.

Sebelum ini, satu poster program himpunan bantah kuliah Abdul Hadi didakwa anjuran Pemuda Amanah yang memaparkan wajah Zamir tular dalam media sosial sejak Khamis.

Poster tertera lambang Kami Pemuda Amanah itu turut mengajak rakan Pemuda Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO dan pihak media supaya hadir ke program berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!