Rumah Ngaji diperluas ke Semenyih
SEMENYIH - Pembukaan Rumah Ngaji Khadijahtul Qubra bakal memberi manfaat buat umat Islam di Semenyih untuk pembelajaran al-Quran dari peringkat asas ke tahap mahir.
Rumah Ngaji terletak di Dataran Dato Mohd Said Semenyih itu telah beroperasi sejak Mei tahun lepas dan terbuka kepada semua lapisan peringkat umur.
Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Khadijahtul Qubra, Mohd Basori Umar berkata, pembelajaran secara berkelompok itu dapat membudayakan bacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
"Al-Quran merupakan panduan hidup yang perlu dibaca, difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
"Justeru kita seru penduduk setempat hadiri kelas dan kita sediakan guru-guru yang terlatih untuk mengajar dari peringkat asas, iqra dan semak bacaan tajwid disusuli interaksi dengan al-Quran melalui tadabbur," katanya pada Perasmian Rumah Ngaji Khadijahtul Qubra pada Khamis.
Beliau berkata, Rumah Ngaji tersebut turut menyediakan kelas secara persendirian bagi mereka yang tidak mahu mengikuti pembelajaran secara berkumpulan.
"Kita ada letakkan bayaran namun bagi mereka yang tidak berkemampuan, mereka boleh menyumbang seikhlas hati tanpa paksaan.
"Perkhidmatan ini adalah satu keperluan buat mereka yang tercari-cari kelas pengajian al-Quran. Setakat ini, seramai 15 individu telah mengikuti pembelajaran mengikut jadual waktu ditetapkan," katanya.
Penubuhan Rumah Ngaji tersebut mendapat sokongan daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Mohd Said Mat Saman yang menyediakan kemudahan tempat pembelajaran dan penginapan bagi membolehkan Rumah Ngaji Khadijahtul Qubra beroperasi.
Mohd Said berharap, kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan orang awam bagi pengisian kerohanian khususnya bagi mereka yang mahu belajar al-Quran.
"Saya memahami penubuhan Rumah Ngaji ini mempunyai niat baik untuk mendidik masyarakat ke jalan agama dan sedikit kelebihan yang ada, saya digunakan untuk sumbangan kepada masyarakat.
"Jika kita berpegang kepada kalimah syahadah dan ke jalan ALLAH SWT, benda yang menjurus kepada kebenaran, kita akan sokong dan galakkan," katanya.
Setakat ini, lebih 3,000 Rumah Ngaji telah beroperasi di seluruh Malaysia yang matlamat penubuhan untuk memberi pendidikan aI-Quran kepada orang ramai agar masyarakat Iebih dekat dan cintakan aI-Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!