PRN Terengganu: Pas yakin tawan 10 kerusi BN

Pas akan menampilkan calon terbaik dalam misi menawan semua 32 DUN Terengganu.
Pas akan menampilkan calon terbaik dalam misi menawan semua 32 DUN Terengganu.
A
A
A

MARANG - Pemilihan calon yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu sedang dibuat oleh kepimpinan parti.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, pihaknya akan menampilkan calon terbaik dalam misi menawan semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di negeri ini.

Menurutnya, Pas yang berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 22 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) juga akan berusaha mengekalkan kedudukan itu pada PRN nanti.

Husain Awang
Husain Awang

“Kita sudah ada 22 kerusi dan sedang berusaha tawan 10 lagi kerusi yang berbaki.

“Kita yakin dapat tawan berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku,” katanya selepas hadir ke Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Masjid Rusila di sini, pada Jumaat.

Majlis penyerahan sumbangan lebih RM800,000 tersebut disempurnakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ditanya soal agihan kerusi melibatkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi PRN, Husain berkata, perkara tersebut belum diputuskan dan masih dalam proses rundingan.

Jelas beliau, keputusan melibatkan pembahagian kerusi akan diputuskan oleh kepimpinan peringkat pusat.

“(Rundingan kerusi) ada di peringkat tertinggi, ia akan diputuskan oleh pusat,” katanya.

Sebanyak enam negeri yang belum membubarkan DUN dijangka mengadakan PRN pada tahun ini.

Ia melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!