KPDN Pahang rampas 106,000 liter diesel bersubsidi
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang berjaya membongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi hasil serbuan Ops Tiris di stor penyimpanan tidak berlesen di Tanah Putih Baru di sini Rabu lalu.
Hasil operasi itu, 106,000 liter diesel bersubsidi yang diisi dalam enam tangki simpanan berjaya dirampas.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, turut dirampas beberapa peralatan digunakan untuk memindahkan minyak serta beberapa dokumen berkaitan.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM266,900.
"Kejayaan ini hasil risikan pegawai penguat kuasa KPDN Pahang selama seminggu sebelum lokasi yang berada di tepi Sungai Kuantan ini diperiksa pada Rabu lalu.
"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan enam tangki simpanan berisi diesel bersubsidi yang disyaki cuba diselewengkan bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan ketika serbuan," katanya pada sidang akhbar rampasan itu di sini pada Jumaat.
Muhamad Radzi berkata, kertas siasatan kes itu telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut.
"Siasatan turut melibatkan rantaian pengedaran termasuk sumber minyak diesel itu diperoleh dan diedarkan.
"Terdapat dua kemungkinan, pertama minyak diesel ini diperoleh dari stesen-stesen minyak sebelum dikumpulkan di sini untuk diedarkan kepada pengusaha-pengusaha bot.
"Mungkin juga bekalan bahan api itu diperoleh dari bot dan dikumpulkan untuk diedarkan kepada pihak industri," katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Tiris (mencegah isu ketirisan minyak diesel) bermula pada 1 Mac lalu, KPDN Pahang telah melakukan 157 pemeriksaan di semua peringkat pemborong dan peruncit.
"Hasil pemeriksaan tersebut, tiga kes telah dihasilkan iaitu dua kes di Raub dan kes terbaharu di Kuantan ini dengan nilai rampasan keseluruhan RM308,012.
"KPDN Pahang mengambil langkah proaktif melalui pemantauan berkala ke atas aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di seluruh negeri.
"Dalam tempoh Januari lalu hingga kini, sembilan kes telah dihasilkan di bawah AKB 1961 melibatkan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan nilai rampasan RM520,232," jelasnya.
Muhamad Radzi berkata, mana-mana individu atau syarikat berkaitan diberi amaran supaya tidak melanggar perundangan ditetapkan.
"Mana-mana pihak (individu) yang terlibat kesalahan ini boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan mereka boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan tidak lebih RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan tidak lebih RM5 juta bagi kesalahan berikutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!