Malik nekad buru tiga mata
PENYERANG berpengalaman Tok Gajah, Abdul Malik Mat Ariff, 32, nekad untuk memastikan kemenangan buat Sri Pahang FC apabila bakal melayan kunjungan Sabah FC dalam saingan Liga Super 2023 di laman sendiri pada Ahad ini.
Pemain kelahiran Kuantan itu memberitahu, ia sasaran bagi semua pemain yang akan diturunkan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur di sini.
"Saya hanya fikir nak kutip tiga mata untuk Sri Pahang walaupun sama ada turun sebagai kesebelasan utama atau gantian.
"Paling penting, beraksi di laman dan penyokong sendiri akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau yang sudah menghasilkan satu gol dalam tiga perlawanan liga setakat ini mengakui, ia bukan tugas mudah buat pemain berdepan lawan yang berada dalam prestasi terbaik selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut setakat ini.
"Namun ia tidak menghalang pemain yang diturunkan nanti untuk memburu kemenangan di laman sendiri.
"Kami juga harapkan sokongan padu peminat Tok Gajah sekali gus dapat mengekang lawan pada Ahad nanti," ujar pemain tersebut.
Setakat ini, Sri Pahang berada di kedudukan kelima liga dengan lima mata selepas mengharungi tiga perlawanan manakala Sabah di tangga kedua berkongsi sembilan mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!