AmanahRaya bantu 165 mangsa banjir di Muar

Ahmad Feizal (tengah) dan Mohd Fuad (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pejabat ADUN Bukit Naning, Muar.
Ahmad Feizal (tengah) dan Mohd Fuad (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pejabat ADUN Bukit Naning, Muar.
A
A
A

MUAR - Prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat berikutan terbabit musibah banjir, Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) menghulurkan bantuan berjumlah kira-kira RM50,000 kepada mangsa banjir.

Sumbangan tersebut merangkumi barangan keperluan asas dan wang tunai kepada 165 keluarga yang kini ditempatkan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning di sini.

Agihan tersebut disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khand dengan diiringi ADUN Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin; Penghulu Mukim Air Hitam, Fauzi Tubi dan pegawai dari ibu pejabat dan cawangan AmanahRaya.

Ahmad Feizal ketika berucap berkata, AmanahRaya sentiasa komited dan prihatin membantu mereka yang memerlukan khususnya bagi meringankan beban penduduk di mukim Air Hitam.

"Kami amat bersimpati atas ujian yang dihadapi ketika ini memandangkan banjir yang melanda menyebabkan kemusnahan harta benda seperti kenderaan, tempat tinggal dan lain-lain.

"Selain memberikan sumbangan dalam bentuk tunai dan barangan keperluan, AmanahRaya juga turun padang ke lokasi kawasan banjir untuk menyumbang tenaga bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan rumah penduduk," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, usaha proaktif Amanah Raya kali ini digerakkan menerusi amalan 'give back to the community' yang menerapkan sifat empati dan menzahirkan semangat kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan pegawainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!