Pemilihan UMNO: Jangan emosi atau ada kepentingan diri

Tengku Adnan
Tengku Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Perwakilan UMNO yang akan memilih bagi peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian dan Pusat pada Sabtu, diharap tidak melakukannya dengan emosi atau ada kepentingan tertentu.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka yang terlibat sebaliknya perlu melakukannya dengan penuh tanggungjawab dan matang.

“Pilihlah mereka yang boleh bekerja, mengutamakan muafakat dalam kumpulan iaitu berpadu berusaha bagi mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti perjuangan ulung demi agama, bangsa dan negara.

“Ingatlah bahawa tekad utama kita adalah bagi mengembalikan UMNO kukuh dan kekal relevan setelah melalui pelbagai cabaran termasuklah penolakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” katanya, memetik laporan portal UMNO Online.

Tengku Adnan menambah, pemilihan kali ini amat penting untuk parti memiliki barisan kepimpinan yang bertekad mengembalikan perjuangan UMNO, apatah lagi setelah melalui pelbagai cabaran sebelum ini.

“Janganlah pilih kerana emosi atau ada kepentingan tertentu kerana yang amat penting adalah mengundi mereka yang setia, boleh bekerja dalam satu pasukan.

“UMNO sendiri adalah platform perjuangan kepada anggota akar umbi malah menjadi harapan untuk rakyat keseluruhannya juga,” katanya yang turut kekal menjadi Ketua UMNO Bahagian Putrajaya apabila menang tanpa bertanding.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan secara serentak di seluruh negara akan diadakan pada Sabtu bagi memilih jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan pusat bagi sesi 2023/2026.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!