1,191 premis tawar Menu Rahmah berdaftar dengan KPDN
JOHOR BHARU - Sebanyak 1,191 premis makanan di seluruh negara yang menawarkan Menu Rahmah telah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi https://menurahmah.kpdn.gov.my setakat Rabu lepas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, sambutan baik daripada peniaga juga dijangka meningkat dengan perluasan Menu Rahmah di bazar Ramadan tidak lama lagi.
"1,191 ini adalah data langsung jadi ia akan sentiasa meningkat, semua ini berdaftar di laman sesawang kita. Ini tidak termasuk 215 premis di Hentian Rehat dan Rawat (R&R)... itu lain.
"Ada juga yang tidak berdaftar dengan kita, jadi kalau mereka nak guna logo itu kita mencadangkan agar mereka daftar dengan kita supaya kita boleh bantu dari segi publisiti.
"Kita tidak meletakkan sasaran (premis berdaftar) kerana ia adalah inisiatif yang dipelopori oleh pengusaha makanan atau syarikat swasta dan mereka ini melakukannya tanpa mendapat insentif ataupun subsidi... ini sukarela kerana mereka ingin berkongsi rezeki dengan pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Fiesta Food Truck Rahmah Kasih Sayang di Plaza Angsana di sini hari ini.
Fiesta itu, yang bermula hari ini hingga Ahad, melibatkan 50 peniaga trak makanan yang menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.
Fuziah juga berkata, sempena Jualan Rahmah itu, KPDN menyediakan peruntukan e-dompet sebanyak RM11,500 kepada peniaga dan pengunjung.
Beliau berkata, Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDi) itu bertujuan menggalakkan peniaga dan pengunjung untuk melakukan transaksi pembayaran tanpa tunai.
"RM30 ditawarkan kepada peniaga dan RM20 kepada pengguna secara tanpa tunai (e-dompet) dan ini adalah inisiatif ReDi kerana kita nak menggalakkan peruncit, peniaga dan juga pengguna untuk melaksanakan transaksi jualan tanpa tunai,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!