Kastam rampas rokok seludup bernilai lebih RM1.2 juta

Mohammad Hafiz (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas.
Mohammad Hafiz (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas.
A
A
A

SEREMBAN - [KEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok tidak sah bernilai lebih RM144,000 dengan duti hampir RM1.2 juta yang diseludup oleh sindiket dalam satu serbuan, pada bulan lepas.

Pengarahnya, Mohammad Hafiz Ishak berkata, serbuan di kawasan Ladang Kelapa Sawit Kampung Air Hitam, Klang, Selangor pada 22 Februari lalu telah menemukan sebuah lori tiga tan dan 14 unit kereta pelbagai jenis tanpa pemilik di lokasi termasuk alat gangguan komunikasi (jammer).

"Jammer ini pertama kali dikesan digunakan oleh sindiket penyeludupan rokok di Negeri Sembilan menyebabkan anggota operasi gagal menghubungi antara satu sama lain dalam radius 300 meter ketika serbuan.

"Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pasukan serbuan ke atas semua kenderaan itu menjumpai 8,750 karton yang mengandungi 87,500 peket rokok putih dan 240 karton mengandungi 2,400 peket rokok kretek," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Ujarnya, jumlah nilai rokok dianggarkan lebih RM144,000 dan duti yang terlibat kira-kira RM1.2 juta, manakala jumlah nilai kenderaan pula dianggarkan sebanyak RM194,000 yang menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan lebih kurang RM338,000.

"Kesemua rokok yang dijumpai adalah disyaki barang belum lulus Kastam dan Barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Mohammad Hafiz (kiri) menunjukkan kenderaan yang dirampas.
Mohammad Hafiz (kiri) menunjukkan kenderaan yang dirampas.

"Barang eksibit termasuk 15 buah kenderaan disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut," katanya menambah serbuan itu dilakukan selepas dua minggu risikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sindiket ini menggunakan modus operandi iaitu rokok-rokok yang tidak mempunyai label cukai yang sah diangkut dengan menggunakan lori kanvas tertutup.

"Ia kemudiannya dibawa ke kawaasan terpencil di ladang kelapa sawit untuk diagihkan dalam kenderaan persendirian sebelum diedarkan dan dijual dipasaran dengan harga yang murah di sekitar kawasan Selangor dan negeri ini.

"Kes ini seterusnya disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya akan melakukan tangkapan terhadap kesemua pemilik kenderaan yang terlibat yang dipercayai warga tempatan dalam masa terdekat memandangkan nombor pendaftaran dan cukai jalan masih aktif.

Sementara itu, beliau turut menggesa orang awam untuk membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!