Bekas Presiden Peru dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun
BANDARAYA MEXICO - Mahkamah Agung Peru pada Khamis meluluskan permohonan pendakwa raya untuk menahan bekas Presiden, Pedro Castillo selama tiga tahun dengan sabitan kes jenayah terancang.
"Mahkamah Agung telah menjatuhkan hukuman penjara pra-perbicaraan selama 36 bulan terhadap Pedro Castillo kerana didakwa mempunyai kaitan dengan organisasi jenayah bagi kesalahan yang dilakukan di Petroperu (syarikat minyak milik kerajaan), kementerian pengangkutan, perumahan, pembinaan dan kesihatan, "menurut mahkamah dalam ciapan di Twitter.
Pemimpin itu dipenjarakan sejak 7 Disember lalu, dan ditahan selepas cuba membubarkan Parlimen.
Perdana Menteri ketika itu Dina Boluarte mengangkat sumpah sebagai presiden baharu dalam masa dua jam selepas pemerintahan Castillo digulingkan.
Pada pertengahan Disember, Castillo dijatuhi hukuman penjara 18 bulan sebelum perbicaraan.
Castillo boleh berdepan hukuman penjara sehingga 32 tahun jika terbukti mempunyai kaitan dengan jenayah terancang.
Peristiwa ini telah mencetuskan gelombang protes di seluruh negara.
Penunjuk perasaan mengecam kerajaan sedia ada dan menggesa pilihan raya presiden diadakan segera dan Parlimen dibubarkan.
Lebih 20 orang terbunuh dalam protes itu, menurut media tempatan. - Bernama/Sputnik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!